Wednesday, February 3, 2010

tuisyen oh tuisyen

Saya menerima panggilan telefon untuk meminta mengajar anaknya tuisyen yg baru berumur 6 tahun.  Saya difahamkan anaknya mengalami kesukaran belajar tetapi tidak diberitahu secara terperinci samada dyslexia, autism, ADD/ADHD atau yg sewaktu dengannya.  Dia hanya memberitahu walaupun sebelum ini anaknya telah dimasukkan tadika seawal 5 tahun,  hingga kini anaknya masih tidak boleh menulis dan memegang pensel dengan betul. Tangannya lembut utk memegang pensel dan tidak kuat. Terus terang saya memberitahu padanya saya bukanlah guru di bahagian pendidikan khas cuma saya banyak mengajar kanak2 yg kebanyakannya mengalami dyslexia dan tumpuan saya hanya belajar membaca dan mengira.  Dia meminta saya mengadakan kelas pada hari Sabtu dan Ahad dan saya terpaksa menolaknya kerana beberapa sebab. 

Pertama dia masih belum mengenal pasti kelemahan anaknya sedangkan saya perlu tahu apa sebenar masalah anaknya.  Saya bukan pakar kanak-kanak.  Pengetahuan saya berdasarkan apa yg saya pelajari dalam kursus Early Childhood Education,  menerusi pembacaan dan pengalaman saya bersama kanak-kanak dyslexia.  Menerusi percakapannya saya tahu dia menaruh harapan terlalu tinggi agar anaknya boleh menjadi normal.  Memang lumrah ibu bapa mengharapkan semua anak-anak menjadi bijak pandai dan sanggup buat apa saja agar harapan menjadi kenyataan.  Persoalannya..apa yang ibu bapa inginkan dari anak...jika mereka tahu anaknya menghadapi learning disabilities, sejauh mana penerimaan ibu bapa tersebut dan what is their expectation towards the child in academic?  Saya tidak berani menjanjikan apa jua harapan kepada ibu bapa yg mempunyai masalah learning disabilities, biarpun antara pelajar saya yg mendapat pengesahan dr doktor mereka menghadapi masalah dyslexia, masalah mereka tidak sama dan cara pendekatan saya berbeza mengikut karektor kanak-kanak itu sendiri.  Dan saya akui ianya tidak mudah walaupun kesemua kanak2 dyslexia yg bersama dgn saya semenjak tahun lepas sudah menunjukkan perubahan yang sangat dibanggakan oleh ibu bapa mereka, kerana sudah boleh membaca 2 bahasa iaitu Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.  Ada seorang pelajar yang belajar membaca jawi dan dia sudah boleh membaca.  Saya akui kanak-kanak dyslexia mempunyai tulisan yang sangat teruk, huruf besar dan kecil bercampur tanpa mengira tempat.

Kejayaan saya mengajar kanak-kanak sebegini menjadi satu "promosi" kepada ibu bapa yang lain kerana saya mampu mengajar mereka tetapi sebenarnya tanggungjawab itu sangat besar kerana ibu bapa ini menaruh harapan terlalu tinggi.  Dan tahun ini saya masih lagi mempunyai tanggungjawab terhadap 5 orang kanak-kanak dyslexia yg berumur 5 tahun, 8 tahun, 7 tahun dan 10 tahun.  Kerana itu saya tidak mampu untuk terus menerima kanak-kanak yg menghadapi learning disabilities.  Saya takut tidak mampu untuk memenuhi impian ibu bapa mereka kerana waktu saya sangat terhad dan jadual sudah terlalu padat.

Saya perlu memberi ruang untuk diri saya terhadap keluarga terutama anak-anak saya  sendiri yg sudah berumur 16 dan 15 tahun.  Perlu juga untuk 'mereservekan'  diri untuk hal-hal kecemasan.  Dalam saya 'mereservekan' diri, saya masih lagi bekerja 7 hari dalam seminggu.  Cuti pada saya hanyalah waktu cuti umum.  Itu pun adakalanya segelintir ibu bapa yg masih menghantar anak mereka belajar biarpun ia merupakan cuti umum.  Kalau tidak, minta diganti hari.   Mujur saya bukan anak dara, kalau tidak sampai tua lah saya tidak berkahwin kerana tidak punya masa untuk berdating. 

Adakalanya saya mengharapkan dalam satu minggu biarlah ada 10 hari dan bukan 7 hari supaya saya boleh membantu kanak-kanak sedemikian.  Menolak permintaan mereka adalah sangat mengecewakan saya kerana ibarat saya tidak mahu membantu mereka. Kerana saya tahu, mereka bukannya bodoh atau tidak boleh belajar langsung.  Selagi mereka boleh membuat perbandingan dan melihat perbezaan antara satu benda dgn yang lain mereka masih boleh belajar.  Mereka seharusnya diberi peluang untuk belajar dan bukan dilabel bodoh atau lembab.  Cuma segelintir ibu bapa yang betul2 prihatin terhadap masalah mereka dan seterusnya mengharap guru sepenuhnya dalam menangani masalah ini.  Sedangkan ibu bapa turut memainkan peranan dalam pembelajaran mereka.  Pembelajaran tidak terhad bersama guru , sebaliknya proses pembelajaran berlaku sentiasa.  Apa yang perlu ialah kanak-kanak perlu didedahkan dengan persekitaran mereka dengan teknik 'observing' kerana sekarang ini mereka hanya sekadar melihat tetapi tidak memerhati dengan teliti dengan apa yg mereka lihat.  Ini turut berlaku terhadap kanak-kanak yang tidak menghadapi masalah learning disablities.  Semuanya sudah terbiasa dengan sikap 'take for granted'.  Renung-renungkanlah...


p/s :  gambar di atas hanyalah hiasan semata-mata